Wednesday, February 4, 2015

Cuti-Cuti Malaysia - Melaka 2015

Agak lama juga saya tak update blog saya ni kerana teramat sibuk dengan kerja-kerja rumah yang menuntut masa saya sebaik saja ahli keluarga masuk berehat dan buat hal masing-masing. Betul juga kata kawan saya, ramai mana pun anak kita sampai masa kita akan tinggal berdua suami isteri atau pun tinggal sendirian kerana masing-masing ada benda yang nak dilakukan.

Sempena cuti umum Hari Wilayah dan Thaipusam yang berturut-turut, anak buah suami buat booking di banglow A Famosa, Melaka. Bunglow ini ada empat bilik dengan masing-masing ada dua katil double jadi memang selesa untuk kami semua bersantai di sini. Perjalanan ke Melaka hanya kira-kira dua jam jika traffic flow okay tapi hari itu kami agak terperangkap di dalam traffic yang agak slow moving dari KL ke Melaka kerana banyak kenderaan di Lebuhraya PLUS. Jika anda memandu dari KL anda kena exit tol Simpang Empat sebelum Ayer Keroh.

Setiba kami tiba di A Famosa sesudah check in ke bilik masing-masing, anak-anak dara dan teruna kami tak sabar-sabar nak mandi di kolam renang yang terletak dibahagian belakang bunglow. Bunglow-bunglow di A Famosa dibahagi kepada beberapa fasa dan nama-nama yang berlainan. Kedudukan bunglow-bunglow agak tersorok ke dalam dan kami lalui permandangan yang menarik seperti padang golf dan villa-villa milik persendirian. Selepas magrib kami berbarbeku di tepi kolam renang, bila dah ramai-ramai ni semua jadi sedap dan mungkin sebab penat bermain laying-laying di padang berhampiran, anak-anak semua kelaparan. Suami saya bawa gitar dan lengkap dengan nota-nota lagu dan semua menyanyi dengan iringan gitar suami saya.
 
Ruang tamu Villa D'Faro
 
Dihadapan Villa D'Faro, A Famosa
Kolam renang bersaiz sederhana hanya lebih kurang 5 kaki dalam

Kawasan lapang di belakang Villa sesuai untuk aktiviti sukaneka atau hari keluarga


 

 
 
BBQ time


En. Suami menghiburkan anak-anak buah
Pada malam pertama kami di A Famosa, kami ber barbeque dan bersantai-santai sahaja. Pada malam kedua, anak bongsu saya merengek nak pergi ke Cowboy Town nak melihat show yang hanya bermula pada sebelah malam. Hanya beberapa orang saja dari kami yang agak rajin nak keluar, yang lain melepak di tepi kolam renang menghirup udara nyaman kebetulan cuaca sangat baik. Tiket untuk masuk ke show di dalam Cowboy Town agak mahal, untuk tidak menghampakan anak saya, kami ambil tiket untuk package berharga RM45.00 seorang untuk menyaksikan Animal Parade dan 4D movie serta pertunjukan bunga api diakhir persembahan. Persembahan dimulakan dengan perarakan binatang-binatang yang sudah terlatih. Mula-mula yang keluar ialah ayam-ayam yang berlari secara berkumpulan dihadapan penonton tapi saya tak dapat nak ambil gambar kerana duduk di bahagian atas agak jauh dari ruang pertunjukan. Kemudian diikuti dengan kambing, burung, kuda, lembu, gajah, orang kaki tinggi, badut dan maskot-maskot binatang. Untuk info pakej A Famosa boleh check http://www.afamosa.com/price-packages/.
 
 

 
 
Salah seekor kambing yang menyertai Animal Parade, sangat jinak
 

 
Bergambar dengan kambing biri-biri, ikon Sambutan Tahun Baru Cina
 
Funfair area (maaf gambar dari handphone yang agak kabur)

 

Friday, January 2, 2015

Selamat Menyambut Tahun Baru 2015

Selamat Tahun Baru 2015 bererti usia kita semakin meningkat. Bila sentuh tentang usia, ramai yang kata age is just numbers, it does not matter what numbers we are holding at but most importantly how we feel...betul, yang penting apa yang kita rasa, ada yang rasa sudah cukup tua dan malu untuk bersuka-suka macam orang muda, ada yang tak rasa tua langsung dan tanpa segan silu masih berperangai macam remaja, tak jaga tata susila dan tutur kata, ada yang rasa diri dah alim sangat tanpa rasa bersalah melabel orang yang tidak sepertinya akan masuk neraka..ada yang rasa dia dah cukup pandai maka orang lain semuanya bodoh...ada yang rasa masih muda dan hidup hanya sekali so kita enjoy dulu jadi apa yang kita rasa bergantung kepada diri sendiri.

Bagi saya, setiap tahun meningkat usia, saya semakin bersyukur kerana masih diizinkan oleh Allah dapat menghirup udara untuk bernafas. Kita semua diberikan kehidupan, baik buruk kehidupan kita bergantung kepada bagaimana kita menjalaninya. Siapa kita masa kecil tidak penting, siapa kita sekarang itulah yang lebih penting. Jadi setiap tahun kita pasti mahukan kehidupan yang lebih baik sebab itu orang selalu tanya saya " apa azam saya pada tahun baru", saya jawab saya tidak pernah ada azam bila masuk tahun baru kerana saya berazam setiap hari untuk apa saja yang saya inginkan atau impikan dan saya berusaha ke arah sesuatu yang lebih baik setiap hari...saya berdoa setiap hari agar Allah membuang segala keburukan yang ada pada diri saya dan jadikan saya seorang yang lebih baik dari semalam. Jika saya tunggu tahun baru saya baru nak berazam maka tak akan tercapailah cita-cita saya yang tertulis di dasar hati. '

Sebenarnya saya seorang yang agak suka berangan-angan tapi saya tak suka nyatakan apa yang saya nak buat kerana bukan semua orang boleh terima jika impian saya itu terlalu tinggi..namun saya selalunya akan set goal yang realistik, saya ukur kemampuan diri dan saya tahu tahap mana saya dapat gagahkan diri mengejar apa yang saya hendak. Alhamdullillah sewaktu saya tanamkan dalam hati masa saya berumur 30an dulu, saya nak hidup senang bila capai umur 40an, saya nak beli rumah dengan nama saya sendiri padahal waktu saya pasang angan-angan tu, gaji masih terlalu kecil, memang tak masuk akal kalau nak beli rumah yang berharga ratusan ribu ringgit tetapi dek kerana impian itu telah terpahat di hati, saya kerja keras buat simpanan sedikit demi sedikit dengan membuat kerja2 sambilan dan membuat simpanan di ASB dan Tabung Haji. Saya dianugerahkan Allah bakat boleh memasak dan menjahit jadi saya gunakan skil menjahit dengan mengambil upah menjahit pakaian kawan-kawan satu pejabat. Saya pernah jual barang kemas, pernah jual kain batik Kelantan, pernah ambil catering untuk jumlah yang kecil dan bermacam-macam lagi yang saya lakukan waktu itu. Saya yakin janji Allah itu pasti sebab itu saya "JUST DO IT"

Jadi, janganlah kita hanya berazam untuk buat sesuatu menjelang tahun baru sahaja, berazamlah setiap hari walau hanya kita berazam nak kurangkan hutang piutang, contohnya bulan tu saya terlebih belanja, jadi saya berazam untuk kurangkan belanja pada minggu hadapannya dengan membawa bekal dari rumah untuk 2 minggu, ternyata saya tidak keluar belanja makan pagi dan tengahari selama dua minggu, jika saya belanja RM10,00 sehari untuk makan pagi dan tengahari di pejabat, maka saya sudah simpan RM100.00 untuk dua minggu, wang tersebut boleh saya masukkan ke tabung khas yang saya panggil "Tabung Kecemasan".

Itulah amalan saya sejak muda dahulu, tak akan berbelanja selagi saya tak ketepikan duit untuk hal-hal yang utama, saya hanya akan keluar shopping apabila saya sudah ketepikan wang untuk bayaran pengasuh anak, duit susu anak, duit belanja sekolah anak-anak. Semasa ibu saya masih hidup, perkara pertama yang saya lakukan sebaik dapat gaji ialah pergi ke pejabat pos untuk kirim duit kepada emak di kampung setiap bulan without fail hinggalah emak meninggal pada tahun 1988. Dengan gaji sebesar RM400.00 sebulan sebagai pembantu perpustakaan pada awal tahun 80an, saya ketepikan untuk emak sebanyak RM100.00 dan saya hidup di kota raya ini dengan RM300.00 untuk sewa rumah, tambang bas, duit pasar (saya masak sendiri walau duduk bujang), dan beli baju atau kasut bila saya perlu baju baru.

Saya tulis semua ini sebagai panduan kepada orang-orang muda termasuklah anak-anak saya dan apa yang baik patut saya kongsikan bersama. Khidmat nasihat percuma selalu saya berikan kepada anak-anak buah yang bertanya tentang kewangan dan bagaimana nak mulakan simpanan!


Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Sunday, December 28, 2014

Hujan Pagi


Hujan pagi
aku bersendiri
meniti hari-hari
dengan rindu di hati

dalam hujan pagi
yang ku lihat hanyalah
bayanganku sendiri
dengan wajah sepi basah
oleh hujan pagi
yang berbaur
dengan airmata rindu
rindu padamu.

23 Disember 98






Wednesday, December 24, 2014

Teater Takhta Tiga Ratu

Saya memang meminati teater sejak zaman remaja tetapi waktu dulu-dulu mana ada persembahan teater berskala besar seperti persembahan di Istana Budaya. Banyak juga persembahan teater yang saya tonton samada dengan suami, keluarga atau kawan-kawan di Istana Budaya, antaranya awal-awal dahulu yang saya masih ingat judul ialah - Cendana (saya lupa apakah itu judulnya) lakonan Fauziah Nawi, Haliza Misbun dan Johara Ayob, teater berbahasa Inggeris "Idris Club", 'Ronggeng Rokiah" lakonan Sapura, "Malim Kundang" "Puteri Gunung Ledang Musical", "Badai Semalam" lakonan Aaron Aziz dan Erra Teater P. Ramlee the musical, Supermokh the Musical lakonan Awie dan Maya Karin, Dibawah Lindungan Kaabah lakonan Adi Putra dan Nasha Aziz dan yang terakhir Takhta 3 Ratu lakonan Awi sebagai Hang Tuah, Erra sebagai Lela Wangsa atau Tun Teja, Izrin Azminda sebagai Raden Galuh, So Winci sebagai Puteri Hang Li Po dan Azri Iskandar sebagai Raja Mansyur Syah arahan Erma Fatima.


Istana Budaya, Jalan Tun Razak

Ruang dalam panggung
Bagi saya setiap teater ada keunikan masing-masing dari segi stage prop dan pencahayaan. Ada yang simple, kosong tetapi penuh dengan pengisian dialog-dialog yang mantap, padat dan jalan cerita yang membawa kita bersama kedalam ceritanya. Ada pula yang lebih fokus pada stage prop yang gempak tetapi pelakon pula tak begitu menyakinkan, maklumlah berlakon teater bukan mudah kerana dialog yang dilontarkan adalah live. Berbalik kepada teater Takhta 3 Ratu, saya memuji lakonan Awie yang tidak pernah mengecewakan saya. Beliau seorang yang komited dan profesional dalam tugasnya. Sewaktu dia berdrama dengan Erra, saya yang menonton terbawa ke kisah cinta mereka satu waktu dulu tetapi kedua-duanya amat professional dan bersahaja walau jauh di sudut hati kita tak dapat meneka isi hati mereka.






No flash in the theater, ini saya ambil masa dah nak bangun keluar

Review baik di dalam Mingguan Malaysia 21 Disember 2014
Gambar oleh Berita Harian


Untuk menonton teater di Istana Budaya bolehlah layari website www.istanabudaya.gov.my.

Tuesday, December 23, 2014

Trip ke Shanghai 2014

Kami bertolak ke Shanghai dengan bullet train no. G157 yang memakan masa selama 5 jam. Bagasi kami yang sudah beranak-pinak agak menyulitkan keadaan kami dan sebahagian dari bagasi kami menghalang laluan masuk ke gerabak kami. Peramugari keretapi membantu memunggah dan menyusun semua bagasi kami semula.  Setiba di stesen keretapi Shanghai, kami disambut oleh pemandu pelancong bernana Jennifer dan dia fasih berbahasa Inggeris loghat Amerika. Keadaan yang sejuk memaksa kami terus naik ke atas bas yang sedia menunggu dan membawa kami ke hotel Rayfront. Sebaik saja semua sudah dapat bilik masing-masing, kami berpisah di lobi untuk tidur kerana semua sudah kepenatan memunggah bagasi. Saya terfikir juga, larat lagi kah saya nak travel begini kerana mengheret bagasi lebih dari satu bag membuatkan saya amat lelah dan berhenti berkali-kali meregangkan tangan yang lenguh! Bukan apa, di stesen keretapi Shanghai tidak disediakan free porter service, setiap bagasi yang hendak diangkat dikenakan 50 Yuan (RM25.00) memang mahal kerana rara-rata kami ada 3 buah bagasi, so kami sepakat tak ambil porter jadi kenalah heret bagasi sendiri menaiki lebih dari 3 kali escalator ke aras atas sekali (dari aras bawah sekali sebab tak tahu dimana arah lift!


HARI PERTAMA

Selepas sarapan pagi yang tidak begitu menyelerakan (apa tak nya, roti putih yang disediakan cuma ada jam straberry dan marjerin - not even butter yang diletakkan didalam mangkok besar so saya rasa kurang hijenik sebab sudah biasa guna butter dan jam with individual packed), kami terus dibawa ke People's Square yang terletak berhadapan dengan bangunan Bandaraya Shanghai. Dalam perjalanan Jennifer menerangkan sejarah Shanghai yang katanya Shanghai ialah baby city yang dibangunkan di atas tanah rata atau delta. Shanghai berbeza dari Beijing dimana tidak terdapat banjaran gunung atau bukit bukau. Shanghai berasal dari sebuah perkampungan nelayan sejak 150 tahun yang lalu dan sedang pesat membangun dengan mengambil Singapura sebagai benchmark mereka. Populasi Shanghai mencecah 24 juta dan menerima kehadiran lebih kurang 4 juta pelancong setahun. Industri utama Shanghai ialah exhibition peringkat antarabangsa dan oleh kerana Shanghai membangun mengikut acuan barat iaiatu British dan Perancis, kini terdapat 23 buah sekolah antarabangsa di kota itu. Shanghai juga merupakan kota fesyen yang up todate.

People's Square

Bangunan Dewan Bandaraya Shanghai


Selepas itu kami dibawa ke Nanjing Road East Shanghai, memang bangunan-bangunan tinggi tersusun rapi menggapai awan. Terlalu banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan dan Shanghai yang kelihatannya dirancang dengan rapi adalah sebuah bandaraya yang bersih. Shanghai dibina mengikut senibina moden dan kebaratan, berada di Shanghai seperti berada di New York, London atau Paris. Kelihatan lebih banyak tulisan dalam bahasa Inggeris dan nama-nama restoran barat terdpat di merata-rata tempat. Bagaimanapun Shanghai masih preserve "China Town" mereka dan kami dibawa melawat Old Town Shanghai.

Nanjing Road seperti di Bintang Walk, KL




Shanghai Old Town





Selepas itu kami di bawa ke The Bund ditepi Sungai Huangpu. Dari dataran The Bund, kelihatan tersusun bangunan pencakar langit yang moden diseberang sungai. Kami menghabiskan masa hampir satu jam menikmati pemandangan yang amat cantik ditepi sungai seolah-olah saya berada di River Theme, London.

Lihat bangunan pencakar langit di belakang kami bagaikan dalam photo studio

Saya berdiri di tengah-tengah The Bund tepi Sungai Huangpu




Lihat senibina bangunannya seperti di Europe




Myself with cousins and friend



Nampak tak ada Big Ben di belakang sana







Di kawasan taman The Bund


Pada sebelah malamnya kami dibawa ke dataran The Bund sekali lagi untuk menaiki cruise di Sungai Huangpu. Tiket untuk menaiki cruise ialah 100 Yuan (RM50.00) agak mahal tetapi ternyata pelayaran selama lebih kurang 45 minit menyusuri sungai diwaktu malam berbaloi. Kami puas menikmati lampu-lampu yang menghiasi bangunan di sepanjang sungai memang mengasyikkan.
Cuma suasana di dalam kapal agak bingit kerana rata-rata orang-orang di China bercakap dengan suara yang agak kuat walau mereka hanya dua orang sehingga mengganggu ketenangan orang lain menikmati pelayaran malam itu.








HARI KEDUA

Kami bertolak ke Oriental Pearl Radio & TV Tower yang terletak di Pudong Park. Tower ini setinggi 468 meter (1536 kaki) merupakan menara yang keenam tertinggi di dunia dan merupakan stesen pemancar TV yang kedua tertinggi di China. Reka bentuk menaranya sangat unik dan menarik beribu-ribu pelawat kesini tetapi kami tidak naik ke menara ini kerana bayaran yang dikenakan ialah 150 Yuan (RM75.00) dan kebanyakkan dari kami fikir tak perlulah naik ke atas, memadailah bergambar di bawah sahaja dengan pemandangan disekitar menara amat menarik seperti yang saya rakamkan ini. 

Oriental Pearl Radio & TV Tower


Di hadapan restoran Subway bersebelahan kaunter tiket






Selepas melawat Oriental Pearl Tower, kami pergi makan tengahari dan solat di Xiao Taoyuan Mosque. Masjid ini kelihatan buruk dari luar tetapi bahagian dalamnya masih baik dan bersih. 

Ruang dalam masjid yang bersih dan kemas







Selepas menunaikan solat zohor, kami bergerak untuk makan tengahari dan seterusnya kami dibawa ke satu lagi Government Shop iaitu Tea House. Perjalanan menuju ke Tea House tidak lancar kerana kesesakan jalanraya. Pemandu kami merungut-rungut dalam bahasa Mandarin mungkin dia sudah kepenatan. Kami tiba di Tea House dalam masa lebih satu jam ada yang sudah terlena di dalam bas. Sesampai kami di situ, kami di bawa ke tingkat atas untuk mendengar penerangan tentang tea dan sejarah pembuatan tea yang berbagai jenis. Kami tidak dibenarkan mengambil foto di dalam bilik mencuba pelbagai jenis tea tetapi ingin saya terangkan disini, harga teh yang dijual mencecah hingga 500-1000 Yuan (RM250-500.00) dek kerana lamanya ramuan teh itu disimpan ada yang hingga 5-6 tahun. Rupa-rupanya lebih lama teh disimpan, lebih berkualiti jadinya sebab itu harganya menjadi semakin mahal. Tak seorang pun dari kami membeli serbuk teh yang ditawarkan hingga seorang pekerja merayu kepada kami dengan perbagai tawaran atau offer, beli satu dapat satu tin free dan sebagainya. Saya jelaskan kepada pemandu pelancong kami yang orang Melayu di Malaysia bukan peminum teh cina dan minum teh bukan budaya kami, sebab itulah kami tak berminat untuk membeli teh yang ditawarkan malah tak ada yang lebih murah dari 50 Yuan!

Selepas itu kami dibawa ke Tabaocheng Market atau Fake Market untuk membeli-belah cenderahati.  Di sini terdapat 3 tingkat kedai2 yang menjual cenderahari, pakaian, cadar, beg tangan, kasut, pashminas, barangan dan pakaian sukan, gadget barang-barang elektronik dan komputer serta banyak lagi yang kesemuanya tiruan dari jenama terkenal. Disini ternyata penjualnya agak lembut dari yang di Beijing, kalau tak beli kami tak begitu dimarah atau dikejar.

Kami meninggalkan Taboacheng Market dalam pukul 5 petang untuk makan malam di restoran Muslim yang sama cuma menu yang agak berbeza dari malam sebelumnya. Restoran ini terletak di satu kawasan menjual daging fresh dan steamboat HALAL. di luar restoran ada DJ yang memutarkan lagu ala-ala DJ di supermarket di Malaysia. Kami kembali ke hotel dalam pukul 8 malam dan malam ini kami terpaksa packing barang-barang yang dibeli, manalah tahu kalau-kalau masih tak cukup bag.

HARI KETIGA

Ini ialah hari terakhir kami di Shanghai dan hati dah mula berbunga nak balik ke Malaysia. Perasaan rindu kepada suami, anak-anak dan kucing-kucing saya tak dapat saya sembunyikan lagi. Kami memuatkan bagasi kedalam bas dan bergerak menuju ke Pudong Shanghai Airport. Kami checked in untuk menaiki pesawat CX 367 menuju ke Hong Kong. Kami tiba di Hong Kong dalam pukul 3.10 petang sepatutnya kami terus menuju ke bahagian transit untuk menaiki pesawat seterusnya ke Kuala Lumpur tetapi kami diberitahu yang pesawat kami sidah ditukarkan ke penerbangan pukul 8.30 malam. Kami diberikan kupon makan untuk ditebus kerana kelewatan tersebut. Selepas menunaikan solat Zohor dan jamak Asar, kami pergi mencari satu-satunya Restoran yang halal ialay Chicken Popye terletak jauh di gate 12. Bagaimanapun kami puas hati sebab restoran itu menerima kupon untuk ditebus. Penerbangan ke Kuala Lumpur berjalan lancar dan tiba kira-kira jam 1220 tengah malam. Saya sampai dirumah kira-kira jam 2.30 pagi dan bangun untuk pergi kerja keesokan harinya!